garden depan umah huhu

garden depan umah huhu

Ahad, 22 Mei 2011

Saat Terindah Alam Perkahwinan


Akad Nikah
Akad nikah merupakan satu acara paling penting dalam perkahwinan masyarakat Melayu yang rata-ratanya beragama Islam. Ia bukan suatu adat tetapi lebih kepada ajaran agama dan merupakan kemuncak kesahihan sesuatu perkahwinan. Upacara ini dijalankan selepas segala perjanjian yang dikenakan kepada pihak lelaki telah dilaksanakan seperti wang belanja, mas kahwin dan barangan lain sepertimana yang dipersetujui oleh kedua belah pihak. Akad nikah boleh dilakukan di masjid, di pejabat kadi atau pun di rumah pengantin perempuan dan dijalankan oleh tok kadi atau imam. Di dalam upacara akad nikah, bapa pengantin perempuan perlu menjadi wali untuk menikahkan anaknya. Walau bagaimanapun, dia juga boleh mewakilkannya kepada tok kadi atau imam.

Kebiasaannya majlis akad nikah akan dijalankan di rumah pengantin perempuan sehari sebelum majlis perkahwinan diadakan. Pada hari tersebut, pengantin lelaki akan mengenakan baju melayu berwarna cerah dan majlis diadakan menyerupai majlis pertunangan. Lazimnya sementara menanti kedatangan rombongan pengantin lelaki, majlis berzanji atau pukulan kompang diadakan. Sebelum upacara dijalankan, wang belanja, mas kahwin dan lain-lain hantaran akan diperiksa oleh tuan kadi dan dua orang saksi bagi pihak perempuan. Seterusnya pengantin lelaki akan duduk di atas sebidang tikar di tengah-tengah majlis. Tok imam atau tok kadi akan menemui pengantin perempuan di dalam bilik untuk bertanyakan samada dia bersetuju atau tidak dengan pernikahan itu. Tok kadi juga akan membacakan khutbah nikah dan menerangkan secara umum akan tanggung jawab suami isteri dan lain-lain hal berkaitan rumahtangga dari sudut agama. Selepas itu, tok kadi atau imam akan membacakan lafaz nikah sambil berjabat tangan dengan pengantin lelaki dan pengantin lelaki dikehendaki mengulangnya sebaik sahaja tok imam menggoncangkan tangannya. Lafaz nikah berbunyi "Aku nikahkan dikau�.(nama pengantin perempuan) dengan mas kahwin sebanyak �..(mengikut negeri) tunai" dan disambut oleh pengantin lelaki dengan lafaz berbunyi "Aku terima nikahnya..(sama seperti yang dilafazkan oleh tok kadi). Saksi akan mengesahkan samada lafaz tersebut jelas didengar atau tidak, sekiranya tidak jelas, pengantin lelaki tersebut akan mengulangnya sehingga saksi tersebut berpuas hati. Doa selamat akan dibaca sejurus selepas itu sebagai tanda kesyukuran kerana kedua-dua mempelai telah selamat diijabkabul.
Selepas akad nikah, pengantin lelaki akan melakukan upacara membatalkan airsembahyang. Si suami akan menyarungkan cincin atau memakaikan rantai kepada isterinya yang menanti di dalam bilik yang dihias indah sambil keduanya bersalaman. Adat ini dilakukan sebagai satu simbol bahawa pasangan tersebut telah sah diijabkabulkan. Selepas itu adat berinai akan dijalankan di mana kedua mempelai ditepung tawar. Peralatan yang digunakan untuk upacara ini ialah semangkuk bertih, semangkuk beras kunyit, sepiring inai, beberapa tangkai daun seribu yang diikat dan semangkuk air tepung tawar. Wakil kedua-dua pihak akan menjalankan adat tepung tawar ini dengan cara mencalitkan sedikit inai dan air tepung tawar ke tapak tangan pengantin. Beras kunyit dan bertih tadi pula ditabur di hadapan pengantin dan juga kepada para hadirin. Bunga telur akan diberi kepada mereka yang menepung tawar. Jumlah orang yang menepung tawar lazimnya dalam bilangan ganjil.


(sumber: perpustakaan negara malaysia)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan